Saturday, January 19, 2013

PROGRAM PEMUAFAKATAN IBU BAPA DAN PENJAGA 2013




20 Januari 2013,  berlangsungnya  Majlis Pemuafakatan bersama ibu bapa dan penjaga murid-murid UPSR 2013 yang diadakan di dalam dewan SKKBFN1 bermula jam 8.30 pagi. Kehadiran ibu bapa penjaga ini amat-amat mengalakkan dan mendapat sokongan daripada PIBG sekolah. Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk mendapat maklum balas dan pandangan serta bertukar-tukar pendapat antara guru dan ibu bapa penjaga serta bagi memudahkan pihak ibu bapa penjaga mengetahui program dan aktiviti kecemerlangan UPSR 2013 mereka secara terus daripada guru-guru mata pelajaran utama sebelum menjelangnya UPSR 2013 tidak lama lagi
Tahniah kepada para ibu bapa murid tahun 6 yang dapat menghadirkan diri pada majlis permuafakatan yang pertama pada tahun ini. Semoga tahun ini anak-anak kita akan mendapat kejayaan yang cemerlang.

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PERLANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH DAN PENGAWAS PUSAT SUMBER 2013




20 Januari 2013, Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah , Pengawas Pusat Sumber (PSS) SKKBFN1 telah selamat dilangsungkan dengan penuh gemilang di Dewan SKKBFN1.  Majlis yang bermula seawal jam 7.45 pagi itu dibuka dengan bacaan Doa oleh seluruh warga sekolah dan dipimpin oleh Tn. Hj. Mohamad Safei b Ab Majid (Guru Besar).
Majlis penyampaian watikah yang merupakan antara acara tahunan terpenting di bawah unit Hal Ehwal Murid (HEM) itu, telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mohamad Safei b Ab Majid Guru Besar SKKBFN1.
Berucap merasmikan majlis, Tn. Haji Mohamad Safei menyampaikan hasrat PPD untuk menyaksikan lebih ramai produk yang hebat dan cemerlang yang terhasil dari sekolah ini yang mampu bersaing di peringkat global dan mampu merealisasikan visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pada tahun ini, penstrukturan semula  kepimpinan pelajar telah dilakukan oleh unit HEM dengan membentuk satu jawatankuasa baru kepimpinan pelajar yang diketuai oleh seorang Ketua Pelajar Lelaki bagi memimpin unit-unit kepimpinan sebagi menggantikan jawatan sebelum ini, iaitu Ketua Pengawas. Ia menyaksikan Mohamad Zulfizamikram b. Din telah dipilih untuk memegang jawatan tersebut dan dibantu oleh Mazni Fikriah bt. Mohamad selaku Ketua Pelajar Perempuan.
Semoga saf kepimpinan yang baru menerima watikah ini akan mampu memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh rasa yakin, jujur, berdisiplin dan ikhlas sebagaimana yang dilafazkan melalui ikrar kepimpinan dalam majlis tersebut.

Sunday, January 6, 2013

Majlis Solat Hajat 2013


Majlis solat hajat dan bacaan yassin telah diadakan pada 3 Januari 2013 bertempat di Dewan SKKBFN1. Program diadakan bersempena dengan permulaan sesi persekolahan tahun 2013. Solat hajat telah dipimpin oleh Tn Imam Masjid Kg. Baharu Felda Neram 1. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ibu bapa, para guru dan murid-murid yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.
Semoga sikap tolong-menolong dan permuafakatan ini mendapat kesukaan Allah SWT dan seterusnya menitipkan keberkatan dalam semua amalan kita. Selamat berjaya kepada semua pelajar  SKKBFN1. Teruskan usaha, banyakkan doa!

Tuesday, January 1, 2013

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SESI 2013




SKKBFN1,  1 Januari 2013.
Selamat Datang Kepada 23 orang murid tahun 1 dan 25 orang murid Pra Sekolah yang memulakan hari pertama persekolahan. Proses pengajaran dan pembelajaran hari pertama persekolahan sesi 2013 berlangsung mengikut jadual. Sebelum masuk kelas, Guru Besar Hj. Mohamad Safei b. Ab. Majid mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada seluruh warga SKBFN1 serta mengharapkan semua pihak memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh demi kejayaan dunia dan akhirat serta merealisasikan visi dan misi SK Kg. Baharu Felda Neram 1. Hari pertama persekolahan turut menampilakn 2 orang lagi warga pendidik baru SKKBFN1 iaitu Pn. Zura Akma bt Mat Rani dan Pn. Aimi Liyana bt Muhammad.